Iklan

Dec 30, 2013

Penamat Tahun 2013 Yang Menyakitkan Kepala

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum


Saya sakit kepala. Lagi. Hari ini isnin dan esok hari terakhir tahun 2013. Cepat sungguh masa berlalu sekarang ini. Untuk berbuat apa-apa, jangan bertangguh. Kalau dulu boleh sahaja, sekarang kalau bertangguh, maka samada kita akan ketinggalan atau terlepas sahaja. Sebab masa berlalu berdesup. Sedar-sedar, masa itu sudah dibelakang.


Biasalah, hujung tahun sahaja, mesti nak pandang balik apa yang telah dibuat atau berlaku sepanjang tahun ini. Kenangan manis. Peristiwa pahit. Perlakuan, niat, tanggungjawab. Semua macam perlu ditilik, sebelum membuat perancangan untuk tahun hadapan, yang akan bermula lusa. Yang akan bermula dengan hari jadi anakanda kesayangan. Kemudian digerakkan dengan langkah ke sekolah dengan kasut sekolah baru. Terpaksa, sebab tahun 2014 kasut sekolah kena tukar kepada warna hitam. Baju baru. Sehelai cukup sebab yang tahun ini punya masih elok. Semangat baru juga diharapkan.


Cuti sekolah hujung tahun ini, kami tidak ke mana-mana. Langsung. Alasan, banjir. Hehe...


Toleh ke belakang sekejap, tahun 2013 tidak bergerak sempurna. Kehidupan hanya bergerak sekitar Terengganu. Pagi bergerak ke pejabat, petang pulang. Malam mengadap tv atau buku sebelum tidur. Akhir May, makan angin seketika ke Vietnam. Jun, ke Felda Chini 2. Kemudian tidak keluar lagi dari Terengganu. Rancangan ke KL acap kali tergendala.


Kesihatan juga kurang memberangsangkan tahun ini. Acap kali demam, lebih-lebih lagi sakit kepala. Biasanya, setahun sekali pun jarang nak demam-demam. Kurang exercise saya rasa.


Kewangan, oh.. yang ini agak teruk. Segalanya tiba-tiba jadi bercelaru sejak terpaksa rela jadi driver adik sendiri. Pemandu tidak bergaji dan minyak kereta juga terpaksa tanggung sendiri dikebanyakan waktunya. Entah apalah nasib. Saya rasa, masalah inilah yang menjadi penyumbang utama kepada kesihatan dan perancangan jalan-jalan cari makan.


2014, sungguh saya mengharapkan sesuatu untuk diri sendiri. sungguh. 





Dec 17, 2013

Enid Blyton itu seorang perempuan rupa-rupanya

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Baru aku tahu Enid Blyton itu adalah merupakan seorang perempuan apabila aku 'google' tentang dia tadi. Alangkah teruknya aku, sedangkan aku membesar dengan angan-angan menjadi seperti watak dalam siri-siri pengembaraan dan penyiasatan dia. Malah aku membesar dengan mimpi-mimpi menjadi seorang penyiasat!

Nama sebenar dia adalah Enid Mary Blyton, telah meninggal pada usia 71 tahun pada tahun 1968 (sumber Wikipedia). Sebelum aku lahir lagi! Maknanya seumur hidup aku telah membaca novel-novel karangan seorang yang telah tiada lagi! 




Ya, buku-buku lama Enid Blyton tu hampir kesemuanya adalah berbahasa melayu, yakni telah diterjemahkan. Dan boleh dikatakan semua buku-buku itu pemilik asalnya adalah kakak aku, yang rata-ratanya berharga sekitar dua ringgit sahaja. Dulu nilai dua ringgit tu pun sudah besar tau. Nak dapat dua ringgit pun sikit punya payah. Aku suka ulang-ulang baca buku-buku itu sehingga sekarang. Tapi memandangkan bila dah besar ni, aku dah celik 'orang putih' sikit, aku dah mula beli novel Enid Blyton dalam bahasa asalnya. 

Sesekali bila difikirkan, nampaknya aku lebih sukakan cerita khayalan yang kekadang tidak logik dek akal lebih dari cerita yang direka berdasarkan kisah sebenar dalam kehidupan. Mungkin sebab realiti kebanyakannya menyedihkan, dan sadis!

 


Dec 16, 2013

Motivasi Untuk Hari Ini




Kadangkala Kita Juga Kena Berubah

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Cakkkk.... hahahaha... dah tukar background.. again? Eh, rasanya dah lama tak tukar kot.
Untuk menyegarkan mata, warna hijau sangat sesuai. Ni pun terfikir juga nk tempek sebarang dua gambar nature kat pejabat ni. Biar segar sikit pandangan.

Letih mata juga kan, duk hadap skrin monitor dan kertas-kertas jer.



Biasa la.. nak masuk new year ni kan, kenalah ubah apa-apa yang patut. Hehe...

Dec 12, 2013

Mananya Tak Banjir Kalau Tiada Saliran Untuk Air Mengalir

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Minggu ini dan minggu lepas, seluruh rakyat Malaysia kecoh dengan cerita banjir di Kuantan dan Kemaman yang teruk. Aku tahu, memang teruk banjir hujung tahun ini. Bagi aku yang tinggal di Kuala Terengganu, yang berjarak hanya 3 jam perjalanan ke Kemaman dengan kereta, ianya lebih terasa. Nak makan sedap-sedap pun terfikir apakah mangsa banjir makan. Nak belek gambar kawan-kawan kongsikan kat facebook pasal Big Bad Wolf Sales pun, rasa macam bersalah nak tumpang gembira. Tapi rutin tetap kena berjalan seperti biasa. Pergi kerja, balik kerja, layan budak-budak makan kat rumah, tidur, dan begitulah hari-hari.

Hujan di sini ketika hari hujan luar biasa di Kemaman, macam biasa sahaja. Sekejap hujan, sekejap teduh. Ada beberapa tempat air melintas jalan tetapi tidaklah sampai jalan ditutup untuk laluan. Ianya keadaan biasa setiap tengkujuh hujung tahun. Malah pada hari jumaat lepas, ketika aku membawa anak saudara ke kinik, jalan yang selalunya di tutup atau aku jer yang takut nak lalu, aku tengok tak ada air pun. Air sungai kat situ ada la melimpah, tapi tak seteruk tahun tahun yang sudah. Hari isnin 2hb Disember tu pun, aku sempat ke Paka untuk menghadiri taklimat tapak, walaupun dalam hujan lebat gila. Ya, ianya sehari sebelum Kemaman dan Kuantan dilanda bah yang teruk itu.


Bercerita perihal banjir, aku rasa bagus juga orang dulu-dulu. Buat rumah, dah fikir dah kemungkinan-kemungkinan bencana yang ada (banjir la biasanya pun). Rumah di buat tinggi di atas tiang. Sesetengah rumah, di bawah rumah siap boleh diparkir dengan kereta lagi. Bila banjir, tak payah sibuk-sibuk pindah. Belakang rumah aku, pun bendang dulu. Tapi rumah masa tu, agak tinggi tiangnya. Bawah rumah tu, tempat letak motor, baja-baja padi, dan tempat kitaorang bermain congkak atas tanah dengan buah getah. Oh yer, juga tempat letak dan susun daun tembakau bila tiba musim tanam tembakau. Bawah rumah zaman itu bersih gila! Nak cari sarang labah-labah untuk letak kat jari yang luka pun susah nak dapat.

Aku ada bercerita perihal banjir di sekitar kampung aku dulu disini dan disini. Tapi, itu dulu. Dulu lain, sekarang lain.

Mungkin ada bezanya, di Kemaman atau lebih spesifiknya di Air Putih, Kemaman dengan di kampung aku. Tapi apa yang di beritahu, asasnya sama sahaja iaitu tiada saliran yang sempurna yakni longkang. Di mana-mana sahaja, pada pemerhatian  dan pengamatan aku, air berkumpul dan bertakung di atas jalan kerana ketiadaan longkang, dan fall atau kecondongan jalanraya tidak betul.

Satu hal lagi, kalau di sekitar kawasan aku, tanah-tanah bendang yang sudah tidak ditanam padi, mula ditambun tinggi-tinggi untuk dibuat rumah. Dan tingginya pula lebih daripada tinggi jalan. Bila dah banyak tanah bendang dikambus begitu, maka bertukarlah jalanraya menjadi longkang bila hujan lebat. Begitulah juga apabila tanah-tanah yang ditambun itu, dibeli pula oleh pemaju perumahan. Rumah-rumah dibina, sederet-derat atau sebuah-sebuah, longkang ada tapi mungkin tak cukup untuk menampung jumlah air yang selalunya berkumpul di tapak asal yang tidak ditambun. Hasilnya rumah-rumah sekitarnya akan menjadi mangsa bencana banjir.


Bendang belakang rumah aku tu, ianya tak boleh ditanam padi sebab air tak mengalir. Ianya semenjak lubang laluan air di kambus dek tanah yang menjadi tapak pasar baru sekarang iaitu sekitar tahun 2005. Awal-awalnya, air bertakung lama hingga merosakkan padi. Lama-lama tumbuh rumput yang tinggi-tinggi tu. Orang kampung panggil rumput 'nerung. Sekarang dah banyak kawasan bendang yang tidak boleh ditanam padi akibat ketiadaan saliran dan air akan bertakung lama apabila hujan lebat.


Beginilah rupanya bekas tanah bendang yang terbiar musim kemarau.


Begini pula jadinya apabila musim tengkujuh datang. Ini dulu.


Dah, cukup-cukuplah aku meluahkan segala ketidakpuasan hati aku, yang sering setiap masa melegar-legar dalam fikiran. Sambil memandu pun, otak aku ni sempat lagi membina ayat untuk blog. Alangkah mudahnya kalau dengan berfikir begitu, ialah boleh dicetak atau siap bertaip. Hahahaha....

Hari ini matahari dah bersinar di atas langit Kuala Terengganu. Air atas jalanraya, mula surut dan kering, tapi air dalam bendang memang susah nak kering. Kalau hujan lebat datang lagi, dengan tanah yang sudah tepu dengan air, dengan air yang sedia ada tak kering lagi, memang mudah sangat untuk banjir berlaku. Namun, nauzubillahiminzalik.. Moga Tuhan jauhkan bencana dan musibah, dan memberikan kemudahan kepada kita semua. Amin.














Dec 10, 2013

Personality Test - Gara-gara 5 Tahun 5 Bulan, Hlovate

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Ya, gara-gara 5 Tahun 5 Bulan, karya Hlovate yang diulang baca untuk kali kedua (rasanya, sebab mungkin juga kali ke tiga), yang bila dah mula baca susah untuk berhenti, hari ini aku mencari kuiz personaliti di internet dan cuba membuatnya. Dah lama tak buat personality test dalam magazine, sebab dah jarang beli magazine.


Jadi, ini yang aku jumpa, dan aku buat sampai habis.


Alamak, aku tak reti nak copy paste the result here. Kena la aku taip nampaknya. Aku telah menjawab 45 soalan yang senang-senang saja. Oh yer, nama kuiz ni ialah THE BIG FIVE PERSONALITY TEST. Dan mereka memberikan keputusan dalam 5 huruf, iaitu OCEAN.

Openness to Experience/Intellect
        High scorers tend to be original, creative, curious, complex; Low scorers tend to be conventional, down to earth, narrow interests, uncreative.
         You prefer traditional and familiar experiences.     (Your percentile: 12)


12 Markah jer! Hahahaha... Tapi aku rasa betul juga bahagian ni. Contohnya dalam bab pakaian, orang dah masuk musim baju bling-bling atau sutera ada permata bagai, aku masih juga tertarik dengan baju kurung kain kapas. Traditional weh! Hahaha... Aku sebenarnya tak suka sesuatu yang aku rasa boleh menarik perhatian, that's why. 


Conscientiousness
        High scorers tend to be reliable, well-organized, self-disciplined, careful; Low scorers tend to be disorganized, undependable, negligent.
         You are well-organized, and are reliable.     (Your percentile: 69)

Tak ada la high score sangat pun, maknanya tak der well-organized sangat. Kekadang kelam kabut dan berserabut juga. Tapi sebab selalunya aku tak suka keadaan yang berserabut, aku sentiasa pastikan surat-surat, resit dan bil-bil, dan dokumen-dokumen penting akan disimpan atau difailkan secara teratur walaupun dirumah. Reliable, yes i am. Samada dalam hal kerja, hal menjaga anak-anak saudara, hal mak ayah, rasanya dalam bab ini aku semakin matang. Yer la.. umur pun dah berapa, kan.



Extraversion
        High scorers tend to be sociable, friendly, fun loving, talkative; Low scorers tend to be introverted, reserved, inhibited, quiet.
         You probably enjoy spending quiet time alone.     (Your percentile: 18)

Beginilah nasib, diriku yang malang... hahahahaha. Baru-baru ni, aku ada berjumpa seorang kawan lama. Yang dah hampir 17 tahun tak jumpa. Dah jumpa tu, sakanlah kami berborak (errr.. dia yang lebih banyak bercerita sebenarnya... hehe). Satu yang aku ingat, dia kata aku introvert. Agaknya betul la kot, aku ni suka mengasingkan diri, memendam rasa, pendiam, tak banyak bergaul. Buktinya, aku sekarang tak ramai kawan. Malah hampir tak ada kawan berborak pun! Yang ada cuma kawan berborak di alam maya yakni YM atau fb, mak dan my daughter jer.

Teruk betul kan. Ya, aku dah lama sedar dan tengah berusaha ke arah menjadi lebih peramah, walaupun setakat di alam maya. Perlahan-lahan, aku mencuba juga. 



Agreeableness
        High scorers tend to be good natured, sympathetic, forgiving, courteous; Low scorers tend to be critical, rude, harsh, callous.
         You tend to consider the feelings of others.     (Your percentile: 63)

Kalau ikut markah tu, ianya hampir di tengah-tengah. At times, aku boleh jadi semacam kejam juga la, tapi untuk mempertahankan diri, aku lebih suka menggunakan perkataan 'tegas'. Hahahaha... Bab kerja la tu, aku tahu sebab sudah beberapa orang berkata aku garang orangnya. Dan orang-orang itu adalah yang kenal aku ketika aku berkerja. Hehe.. Aku rasa sepatutnya markah aku kat sini more than 80, sebab aku sebenarnya sangat sangat menjaga perasaan orang, lebih dari perasaan diri sendiri. Dan ya, aku sangat mudah memaafkan.





Neuroticism
        High scorers tend to be nervous, high-strung, insecure, worrying; Low scorers tend to be calm, relaxed, secure, hardy.
         You probably remain calm, even in tense situations.     (Your percentile: 11)

Relaks.. hahaha. Ini kerana pengalaman sebenarnya. Pengalaman banyak mengajar aku untuk menjadi seorang yang jarang nak melenting, mudah sentap, risau tak tentu pasal. Terima kasih pengalaman!


Ok, next, cari kuiz personaliti yang lain lak. Hahahaha....


























Dec 2, 2013

Mimpi Mati, Mimpi Sesat, Mimpi Jumpa Orang Yang Dah Lama Tidak Berjumpa


Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Pernahkah anda bermimpi tentang kematian, dan yang mati itu adalah anda sendiri? Itu antara mimpi tak best yang pernah aku rasa. Kita bermimpi seolah-olah kita mati, dengan kita sendiri melihat kematian itu bagaimana. Aku pernah mimpi mati jatuh telaga.


Kemudian baru-baru ini, aku mimpi aku telah meninggal dan roh aku melayang-layang ibarat hantu dalam drama korea 'the master's sun'. Ya.. aku telah menjadi hantu. Padahal ada suatu ketika aku bermimpikan hantu, dan aku sungguh takut sehingga aku terjaga dari tidur dan sempat mendengar mulut aku membaca doa iftitah sehingga habis! Mak gelak sakan bila aku cerita dekat mak.


Paling aku takut ialah mimpi sesat atau tak jumpa jalan yang hendak di tuju. Hari itu aku bermimpi aku hendak ke airport. Dah sampai di airport, aku cuma nak cari kaunter nak check-in ajer. Tapi aku sesat hingga keluar dari kawasan airport. Hari dah makin gelap, jalan berbukit-bukit dan aku pulak dengan Aisya! Kiri kanan jalan cuma ada hutan sahaja, dan tak ada kereta pun yang lalu. Akhirnya, selepas penat berjalan, aku nampak sebuah rumah dan kebetulan pula ada kereta yang lalu. Ya Allah.... sangat menakutkan mimpi sesat-sesat ni.


Agaknya, apakah maksudnya yer, apabila kita bermimpi dengan orang yang dah lama kita tak jumpa. Sedangkan di alam nyatanya, kita langsung tak teringat kat orang tu. Pada aku, ianya cuma mengingatkan aku pada orang itu sahaja, supaya aku tidak lupa barangkali.


 

Nov 28, 2013

Rendang Daging Version Guna Pemanggang Ajaib

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...




Cerita baru dari sumber yang dah agak lama. Daging korban musim hari raya korban yang lepas. Tetapi merendang daging, bukan di hari raya, tetapi di minggu yang ke berapa dah selepas itu. Dah lama berniat nak cuba buat rendang dengan pemanggang ajaib, maka kali itu aku cuba. Ramuannya, ramuan rendang yang biasa. Caranya juga biasa. Seperti biasa kalau masak daging, aku tambah 2,3 biji kurma, kononnya untuk melembutkan daging. Adakala menjadi. Kadangkala liat juga, dan aku akan cari bahan untuk disalahkan. Salah tukang masakkah, tukang hiris dagingkah, tukang jualkah, tukang sembelihkah atau salah lembukah? Hahahaha... Tapi seperti biasa, akhirnya kesalahan jatuh juga pada yang paling akhir menyediakan juadah, iaitu tukang masak. :((

Alhamdulillah, rendang daging aku menjadi lembutnya, sedapnya. Masa yang diambil pula, tidak selama masa yang perlu sekiranya dibuat dalam kuali. Lainkali, bolehlah cuba lagi. :D





Cuti Sekolah - Hantar Anak Balik Kampung

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Lagi cerita pasal cuti sekolah. Sebab? Cuti sekolah di hujung tahun kan lama. Dan aku pula tinggal dengan mak ayah di kampung. Biasalah, cuti sekolah dengan balik kampung lebih kurang macam hari raya dengan balik kampung juga. Tidak boleh dipisahkan. Lebih-lebih lagi cuti sekolah hujung tahun yang panjang (sebulan lebih).


Cikgu-cikgi pun berbondong-bondonglah pulang ke kampung, selepas menghabiskan segala kerja-kerja key-in data ke haper yang aku tak tahu sangat, yang dengarnya riuh di fb seperti lebah diserang sarangnya, sana-sini bising yang tak bising mana. Dan sebelum menghabiskan cuti masing-masing dengan berbondong-bondong pula ke luar negara yang dekat-dekat, dan jauh-jauh.


Anak-anak? Mungkin diangkut bersama ke mana-mana. Mungkin ditinggalkan di kampung bersama datuk dan nenek. Seketika, atau sehingga habis cuti sekolah. Sesetengah mereka, suka la tinggal di kampung. Sesetengah mungkin tak. Kalau dulu, aku tengok situasi budak-budak balik kampung dan ditinggalkan dengan datuk nenek ni, dalam tv jer. Dalam drama-drama melayu. Macam-macam la kerenah anak cucu ni kan. Tapi sekarang aku dah lihat di depan mata sendiri. Anak-anak saudara berderet-deret di rumah sekarang. Hahahaha...


Biasanya, yang kita nampak adalah kerenah budak-budak, itu saja. Orang bandar di hantar balik kampung, macam-macam la kerenah. Yang dah biasa hadap astro hampir 12 jam. Yang selalu didiamkan dan diubatkan dengan ipad, tab, atau smart phone. Yang makannya tak tentu masa dan apa. Yang ruang lingkup sehariannya mungkin hanya ruang rumah di tingkat atas bangunan tinggi 4, 5 tingkat. Maka apabila dikampung, timbul macam-macam kerenah. Sebab semua kebiasaan itu mungkin tidak bisa dilayan di sana dan mereka perlu mencari aktiviti lain bagi melayari hari-hari.


Biasanya juga, jarang-jarang kita nampak kesan-kesan peninggalan atau penukaran sementara tanggungjawab mak ayah budak-budak itu kepada mereka-mereka yang tinggal di kampung, yakni nenek, datuk, bapa saudara, mak saudara, atau cucu-cucu yang memang tinggal dengan datuk dan nenek. Ada. Ada kesan negatif, ada kesan positifnya.Nanti suatu ketika di hari yang tenang, aku nak juga bercerita apa kesan-kesan itu. Yang paling penting aku tekankan di sini, bila dah anak-anak tiada depan mata (sebab mungkin mak ayah kerja bukan cikgu, tak bercuti), jangan pula ingat tanggungjawab tiada. Kasihanlah kepada datuk dan nenek di kampung, yang sudah tak larat untuk menjaga cucu-cucu, tiba-tiba berganda-ganda pula kerja yang hendak dibuat. Sediakan makan minum berganda-ganda. Basuh sidai lipat pakaian, berbakul-bakul. Setiap hari terpaksa melayan bermacam-macam kerenah cucu-cucu.


Sungguh, orang tua ni yakni mak ayah kita banyak menjaga hati kita, lebih dari kita menjaga hati mereka. Kalau kita tidak menjenguk mereka di kampung atau lama tidak menelefon bertanya khabar, mereka tertanya-tanya apa salah mereka. Anak-anak mereka marahkah dengan mereka. Terasa hatikah dengan mereka. Sedangkan kita sebagai anak, mungkin sedang bergembiran di mana-mana, lupa mak ayah yang sentiasa risaukan kita. Sebab itulah mereka banyak memendam rasa.


Ya, memang begitulah kebanyakan orang tua di kampung. Mungkin orang tua di bandar, lain pemikirannya. Yang belajar tinggi zaman dulu dan ada pencen, lain caranya. Aku berada di kalangan orang-orang tua yang ada tidak bersekolah zaman jepun dulu. Yang bersusah bersakit demi membesarkan anak-anak zaman makan ubi kayu. Itulah... dunia di sekeliling aku.


P/s : 'Bagaimana kau sanggup duduk dengan mak ayah yer? Kalau aku, aku tak sanggup', kata seorang sahabat yang aku jumpa baru-baru ini selepas hampir 16 tahun kami tidak berjumpa. Aku senyum cuma. Nanti aku beri jawapannya.













Nov 26, 2013

South Moravia of the Czech Republic - Ibarat Dalam Mimpi

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Sebelum aku membebel dengan cerita-cerita luahan perasaan aku, dengan cerita musim cuti sekolah yang riuh, dan macam-macam topik yang sibuk melayang-layang dalam kotak fikiran aku macam screen saver dengan tulisan 3D yang bergerak dari kiri ke kanan, aku nak kongsi ini dulu. Untuk tatapan semua, juga sebagai santapan minda aku kala aku tengah berserabut otak seperti sekarang.

Penyejuk minda.





 Sumber, aku google setelah aku tengok gambar tu kat yahoo rasanya. Macam lukisan pun ada, macam tak nak percaya pun ada. Tapi percayalah tempat itu wujud. Ianya di South Moravia yang aku tak pernah tahu kewujudannya sehinggalah aku buka google maps dan cari kat mana tempat tu. Tak jauh rupanya, masih di bumi ini dan bukan di planet lain. Hehe..

Cantik, kan. Tapi bila aku renung-renung dan angan-angan sampai ke situ, tiba-tiba aku terfikir, 'kalau tak hijau gitu, mesti cam padang pasir jer tempat tu'. Kemudian aku sedar kaki aku masih berpijak kat sini, di mana aku lebih suka tempat-tempat seperti gambar wallpaper komputer aku tu. Jati diri aku masih orang kampung, suka masuk kebun, masuk hutan, lihat pokok, burung-burung, dan menyelusuri jalan-jalan dicelah-celah pokok yang masih berembun. Itu lebih memberi ketenangan pada aku. Sebab itulah setiap pagi aku nak kena juga minum milo tepi tingkap dapur sambil termenung tengok alam.

 




Kalau ada time machine yang boleh bawa kita ke masa-masa lalu, aku ingin sekali kembali ke zaman kecil-kecil aku. Zaman alam dihargai, zaman alam dinikmati, sepenuhnya.








Nov 17, 2013

Perancangan Cuti Sekolah?

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Aisya ada tanya, kita nak ke mana cuti sekolah ni mama? Jawabnya, tengoklah nanti.

Menjadi ibu ayah kepada budak-budak sekolah zaman sekarang, sedikit parah bab-bab cuti sekolah. Sebab? Bila sekolah telah dibuka, cikgu-cikgu akan bertanya, cuti sekolah kamu semua pergi ke mana? Lebih parah lagi, disuruhnya budak-budak tu buat karangan tentang 'lawatan ketika cuti sekolah'.

Aisya pernah kena begitu, pada suatu musim cuti sekolah yang lalu, yang mana ketika itu aku tidak membawa dia bercuti ke mana-mana.

Aku rasa cikgu-cikgu ini tidak sensitif betul pasal cuti sekolah ini. Takkanlah disebabkan mereka cikgu-cikgu, bergaji besar dan tiket kapal terbang pulak membenarkan 'sekarang semua orang boleh terbang', makanya mereka juga beranggapan ibu ayah murid-murid mereka pun begitu juga. Dah la sekolah tu di kampung. Budak-budak sekolah, berasal daripada kampung-kampung sekitar itu juga. Tokki tokwan mereka pun mungkin tinggal paling jauh di kampung sebelah yang ambil masa 10 minit sahaja dengan bawa basikal laju-laju gaya budak-budak, atau paling sedih di sebelah rumah diaorang jer pun. Ke mana sangat mereka boleh pergi dengan ibu ayah diaorang pun kerja setakat jual ikan di pasar, atau bertukang buat rumah, gajipun tidak sebesar cikgu-cikgu itu.

Ya, memang ada yang berumah batu besar banglo mewah kereta besar bersusun dengan hilux segala bagai. Ayah mereka mungkin kontraktor besar, atau kerja kerajaan dengan gaji besar kerjanya sedikit. Maka mampulah mereka bercuti sakan ke mana-mana ketika cuti sekolah. Ke Langkawi naik cable car, ke Cameron Highland merasa cuaca sejuk kononnya, ke Vietnam untuk shopping sakan, dan banyak lagi destinasi menarik cuti sekolah.

Kasihan kan, pada yang kurang mampu itu. Apalah yang hendak mereka ceritakan tentang percutian indah mereka. Aku rasa cikgu-cikgu patut tukar tajuk karangan dengan tajuk 'pengalaman semasa cuti sekolah'lah. Pengalaman itu tidaklah merangkumi bercuti-cuti sahaja. Mungkin pengalaman main air banjir, pengalaman pertama kali belajar bawa motosikal, pengalaman memancing ker, macam-macam la.

Bagaimanapun aku tak setuju dengan 'mengajar budak-budak bawa motosikal' pada usia yang sangat muda ini. Aku rasa ianya seperti mengajar mereka merempit di awal remaja pulak, bagi lelaki dan mengajar mereka berpeleseran pula bagi perempuan.

Aisya, next year dah UPSR. Aku, sebagai mama, dah fikir macam-macam yang tak sepatutnya. Apa yang patut kena buat (belajar 2 jam sehari, mungkin), apa yang tak sepatutnya kena buat (belajar 6 jam sehari? giler) .Yer, upsr jer pun. Pesal aku awal sangat menggelabah ni?



Nov 13, 2013

Antara Tarikan Televisyen dan Novel

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Lamanya tidak bersiaran di sini. Lama juga tidak menjenguk blog teman-teman blogger. Aku masih tidak suka membuka sebarang website di telefon yang kecil itu, tak ada kepuasan pada aku. Sesekali menjenguk fb dan instagram di telefon pun kurasa berpinau anak mata. Perlahan-lahan dalam minggu yang tidak lagi kelam kabut dan berkejar ini, aku jenguk 'rumah' teman-teman. Membelek entri lama yang aku ketinggalan, bertanya khabar dan berbalas senyuman, dan tawa juga. Terasa hidup kembali sedia kala. Hahaha..


Memang, dua minggu lepas raya korban itu hari, ada lagi minggu cuti bersambung-sambung. Dua minggu itu adalah hectic weeks for me, thus cuti deepavali yang dibawa ke hari ahad, aku sambung pula cuti tahunan hari isnin sebab selasa adalah awal muharram, tidak cukup memberi rehat pada aku. Demam aku bermula malam rabu, meleret-leret hingga ke hari jumaat. Hari sabtu, baru dapat bangun dengan cergas mengemas rumah, membuang segala bau-bau orang demam. Aku benci bekas-bekas dan bau deman, ianya melemahkan semangat pada aku.


Oh.. antara penyebab aku rasa yang membuatkan aku seperti sentiasa terkejar-kejar for the past few weeks, ialah... TV! Di pejabat, sudah berkejar dengan kerja. Balik rumah pula, hampir setiap hari ada sahaja favourite show/series yang menunggu. Petang-petang layan Masterchef Australia S5. Jam 9 setiap rabu dan khamis lak, aku sudah terjerat dengan The Master's Sun, korean drama. Arghh... Teruk betul kalau dah terjerat dek korea ni. Memang tak boleh terlepas la. Mujur cerita tu ada 17 episod sahaja. Pada masa yang sama setiap hari kecuali hujung minggu, aku layan Once Upon A Time S2 di Channel 722. Citer tu main lewat, waktu aku biasanya dah lepak atas katil layan game sambil tunggu mata ngantuk. Aku tahan jugak tercongok depan tv sejam lagi dari jam 10.40 malam. Yer.. tu antara sebab aku akhirnya jatuh sakit berhari-hari. Mujur hari pertama demam adalah hari episod terakhir Once Upon A Time tu, iaitu episod 22. Dan mujurlah series yang aku layan ni, episodnya tak banyak. Kalau beratus atau berpuluh-puluh cam citer Indon tu, sah aku tak follow.


Sekarang dah lega. Nampaknya novel-novel yang bersusun menunggu dibelek, mengalami kekalahan tarikan dengan televisyen. Kuasa tarikan tv lebih besar. Novel yang aku pinjam kat public library pun tidak membantu menarik aku dari tv. Lega bila sekarang balik kerja, aku boleh lepak layan Masterchef jer. Pastu lepak tak tahu nak buat aper. Hahahaha.... Novel belum berjaya menarik aku padanya.

Sabar dulu novel-novel, aku dalam proses pengubah suaian diri. Kena tukar mode colour dulu. ;D








Oct 28, 2013

Selepas Hari Raya Haji

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


...sibuknya.
Sebenarnya sebelum hari raya korban itu hari lagi. Tapi, bila dah bercuti panjang mulai 10 Zulhijjah tu, hingga 14 Zulhijjah, aku jadi tenang-tenang sahaja. Sebab, lima hari berturut-turut itu aku hanya berehat dirumah dalam erti kata sebenar. Masak, makan, tengok tv dan tidur. Cuaca adalah sangat best untuk aktiviti itu sahaja, iaitu hujan. :D


Maka, apabila buka penggal minggu baru menjenguk, dengan mesyuarat hampir setiap hari dan ada hari pula sehingga dua kali, dengan kerja yang bertambah setiap kali selepas bermesyuarat, aku mula jadi bingung. Aku jadi pening, sakit kepala dan hendak muntah. Mujurlah ketika aku menumpang kereta boss untuk ke satu mesyuarat di Paka, dengan gaya ala 'mem besar' (sebab boss di depan dan seorang lagi staf turun pangkat jadi driver), aku berjaya menahan diri dari muntah. Maka aku serik dan membuat keputusan untuk tidak lagi menjadi penumpang sekiranya ke mana-mana lagi dengan sesiapa. Dekat atau jauh, aku tetap nak pegang peranan driver.


Bila sibuk juga, blog pun ditinggalkan. Mujur bukan blog resepi, walaupun aku ada berhutang satu resepi dengan seorang kawan. Alaa.. resepi aku, resepi 'cap ayam' jer pun. Hehe...


Blog member-member maya juga tidak terjenguk. Ada hampir dua ratus entri baru dan lama yang terkumpul belum aku baca di cloud.feedly aku. Ya.. disitulah aku selalu melepak selepas google reader dimatikan.


Aku sangat letih apabila balik kerja. Tenaga habis. Aku tahu tak ada siapa yang menunggu entri baru aku pun, atau tertanya-tanya ke mana aku pergi, malah tidak minta alasan pun kenapa tiada entri baru disini. Tak, aku bukan menulis untuk sesiapa, selalunya. Aku menulis untuk diri sendiri. Untuk melepaskan rasa hati.


Aku perlu bercuti. Bali... oh Bali. Ehh...

Oct 9, 2013

Episod Try & Error - Puding Roti Version Pemanggang Ajaib

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Serba sedikit bahan-bahan untuk membuat kuih raya sempena Syawal yang lepas, masih berbaki lagi. Ada yang banyak lagi, lebih separuh dan ada yang sesuku sahaja daripada asal. Tapi roti untuk puding ini, bukanlah antaranya. Roti ini kebetulan terlebih-lebih pula, bila aku gatal tangan capai roti sandwich bersaiz besar masa ke kedai hari itu. Biasanya aku beli roti Gardenia yang RM2.40 tu jer.

Maka, bila berlebih-lebih begitu, kenalah berbuat sesuatu bagi mengelakkan pembaziran, dan supaya orang tidak menyampah. Eh.. tiba-tiba plak. Hahaha.... Tercegat di dapur sambil gosok-gosok dagu, pandang itu ini, otak ligat merangka resepi. Yess.. idea!

Maka, aku capai mangkuk, pecahkan dua biji telur dan pukul-pukul sekejap. Kemudian dituangkan susu segar secukupnya. Gula dua sudu besar. Kacau lagi hingga gula hancur. Siap adunan tu, aku ketepikan dulu. Ada pemanggang ajaib? Haa.. aku dengar dengan pemanggang ini, macam-macam boleh dibuat. Tapi aku tak pernah tengok lak hasilnya di mana-mana di internet (err.. aku tak cari pun sebenarnya). Yang tak boleh dibuat cuma magic sahaja barangkali. Hehe...

Aku letak pemanggang ajaib atas dapur, sapukan sedikit marjerin kat permukaannya, carik-carikkan roti stail orang malas. Campakkan dalam pemanggang tu. Kemudian tuangkan adunan telur dengan susu tadi, kasi menyerap pada roti. Godek-godek rak, jumpa cokelat cip raya hari tu punya, tabur-taburkan atas permukaan roti tadi. Lapiskan sekali lagi dengan roti yang dicarik-carikkan. Dan tuangkan habis adunan telur dan susu. Aku reka-reka lak letak marjerin secubit-secubit kat atas roti tu. Apa guna tengok masterchef hari-hari kalau tak reti-reti nak cuba-cuba buat gitu kan. Hahaha.... Kemudian, bakarlah atas dapur gas tu, dengan api yang paling kecil. Agak-agak dah masak, pusing sekejap pemanggang ajaib tu, so that nanti permukaan atas roti tu pun kuning-kuning skit.

Jadi, beginilah hasilnya. Elok jer menjadi puding roti aku ni. Sedap pun sedap. Senang pun senang. Aku ada idea lain, aku rasa kalau tambah pisang yang dipotong-potong pun sedap juga. Nanti aku nak cuba buat la. Hehe..

Selamat mencuba!

Bersederhanalah, dan Jangan Berlebih-lebih

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Peringatan untuk diri sendiri dan kamu-kamu semua.


Bersederhanalah dan jangan berlebih-lebih.


Maaf.


Berlebih-lebih, sangat mengundang rasa menyampah ok.





Oct 6, 2013

Yang Aku Takut - Episod Try and Error Non-Bake Cheese Cake

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Aku tahu, buat kek keju, lebih-lebih lagi yang tidak perlu dibakar, adalah senang. Bahan-bahan yang diperlukan tidak macam-macam. Ya, senang cakap. Bukan senang buat. Tertekan sungguh rasanya. Apa yang aku takut-takutkan selama ini, akhirnya menjadi kenyataan.

Aku sebenarnya tahu, aku dengan gelatin adalah tidak 'ngam' bersama. Aku pernah beli gelatin halagel gara-gara terpengaruh dengan resepi. Dua tiga kali juga aku buat jeli kekadang agar-agar atau puding guna gelatin, tapi hasilnya aku tak puas hati. Ianya sama ada keras, atau lembik. Maka lepas itu aku telah melancarkan perang dingin dengan gelatin halagel yang masih elok dalam kotaknya atas rak kat dapur itu. Aku kembali berpaling pada serbuk agar-agar nona yang biasa memberikan hasil puding yang sangat memuaskan hati.

Tapi aku tambah juga benda alah itu gara-gara menggodek resepi non-bake cheese cake di internet, selepas melihat gelatin itu masih belum tamat tempoh sah guna. Padahal hari raya lepas, kakak ipar aku tak letak pun 'musuh' aku itu. Memang, aku tak perhatikan betul-betul cara kakak ipar aku buat kek tu hari itu. Aku cuma tolong sekejap sahaja memotong 500g daripada 1kg ketulan keju. Dan aku ingat-ingat lupa, aku rasa memang dia gunakan setin susu pekat dan sekotak krim putar. Aku tengok dia putar sekejap adunan itu, dengan mesin menggunakan kelajuan nombor satu. Kemudian dia tinggikan kelajuan pemutar tapi lepas itu aku tinggalkan dapur dan pergi entah ke mana hala. Itu cerita malam raya ke dua syawal lepas.


Dengan menggunakan baki keju dan bahan-bahan sedia ada, aku beranikan diri membuat non-bake cheese cake, dan begitulah akhirnya. Apa yang aku takut-takut, menjadi kenyataan. Cheese cake aku agak lembik dan tidak berdiri tegak selepas dikeluarkan dari acuan. Mujurlah ianya tidak betul-betul penyek, dan rasanya masih sedap. Habislah juga 'jualan' aku. Hahaha...



Sehingga hari ini, aku masih mencari-cari di mana silap aku. Aku dah google macam-macam cara untuk buat non-bake cheese cake, tapi aku masih belum berjumpa dimana silapnya. Salah satu cara yang aku 'nampak' hanyalah dengan, 'mencuba lagi'. :)
 





Oct 1, 2013

Yang Boleh Pusing Kepala Ke Belakang

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Situasi pagi tadi.

Kuk! Kuk! Kuk!

Kuat kedengaran bunyi ketukan yang entah apa itu. Aku jenguk ke luar bilik.


Budak kecik itu tengah syok ketuk gagang telefon kat almari rupanya.


Sebelum sempat cakap apa-apa, aku terbersin.
 
'Acchooooo!!
'Aduh.... Arghhhhh.....!!'

Aku rasa sakit di belakang leher ke bahu sebelah kiri, tersilap urat barangkali. Sakitnya.

Aku cuba gerak-gerak leher, kiri, kanan, bawah. Kemudian cuba dongak, tak dapat. Sakitnya.


Akhirnya suruh mak cuba urut sikit kat belakang bahu.

Sambil mengadu, 'Pusing kiri kanan tak sakit. Tengok bawah pun ok. Nak dongak cam tak dapat'.

'Pusing belakang?' soal mak.


'Yang boleh pusing kepala ke belakang tu, hantu!!!'


Mak gelak sakan.

Sep 30, 2013

Cerita Tentang Mencari Gula, Lelaki Berkacamata Hitam dan Paha Ayam Belanda

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Dengar berita, harga gula akan dinaikkan. Bagi mengelakkan kenaikan jumlah penghidap kencing manis katanya. Aku agak, tidak lama lagi, seperti dulu-dulu, gula-gula akan susah untuk didapati. Sama ada disorokkan atau memang tidak ada. Sekarang harga gula 2.50 untuk sekilo.


Sebelum harga gula naik 20 sen, 30 sen atau 50 sen, aku nak juga simpan stok gula. Biasanya gula banyak sahaja di rumah, ada berkilo-kilo sebab selalu bila buat makan-makan, orang-orang perempuan akan datang membawa plastik berisi gula paling kurang 2kg dan biskut kering empat segi sebungkus seorang untuk diberikan kepada tuan rumah. Adat bertandang, tidak jadi dengan tangan kosong. Tapi sudah lama tidak membuat acara makan-makan, maka kuranglah stok gula di rumah.


Maka, kereta aku turut sama merangkak-rangkak dalam barisan kereta mencari parkir dikosongkan di kawasan parkir kereta Mydin Mall petang sabtu lepas. Petang, kononnya dianggarkan orang tidak ramai tetapi ramalanku benar salah belaka. Kemudian, berbaris-baris pula dengan troli berisi tak banyak mana pun barang berbanding orang lain, untuk sesi membayar.


Disitulah cerita perihal lelaki berkacamata hitam timbul. Dia berdiri dengan trolinya di depan seorang perempuan dengan trolinya, dan aku, di belakang perempuan tersebut dengan troli aku. Dia agak segak, di tambah dengan kacamata itu. Tetapi aku terfikir-fikir, mudahkah dia memilih barang dengan berkacamata hitam? Itu persoalan pertama. Trolinya tidak sepenuh troli orang lain. Barang juga tidak pelbagai. Tapi setiap barang ada banyak bilangannya. Ada berpaket-paket keju keping. Ada dua bungkusan besar gedabak mungkin 5kg sebungkus tomato segar. Melihat itu, aku berteka-teki bahawa mungkin dia penjual burger. Itu persoalan kedua. Kemudian aku lihat ada juga seekor ayam besar (whole chicken) di dalam plastik lutsinar.


Dan, ada berketul-ketul 'sesuatu' yang seperti paha ayam, tetapi bersaiz besar. Aku agak itu mungkin paha ayam belanda. Tetapi untuk apakah? Ketika dia menyusun barang-barang itu di atas kaunter, aku yang penuh dengan tanda soal di kepala ini berpura-pura melihat-melihat bateri di sebelah kaunter, sambil mata menjeling-jeling dan tangan meraba-raba. Yer, betul paha ayam belanda. Ada ditulis pada tag price. Markah penuh untuk diri sendiri. Tetapi ada persoalan baru, untuk apakah?


Ya, begitulah kami (aku dan adik aku sebenarnya). Sehingga hari ini, kekadang persoalan itu masih timbul dicelah-celah celoteh kami ketika di dalam kereta. Lelaki berkacamata hitam yang agak kacak itu, hendak buat apakah dengan tomato yang banyak, keju yang berpaket-paket, seekor ayam besar dan berketul-ketul paha ayam belanda?





Sep 19, 2013

Cuti-Cuti Malaysia - Pulau Kapas, Terengganu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...




Rasa rugi juga bila tidak ke mana-mana pada hari cuti umum yang bersambung dengan cuti hujung minggu. Hujung bulan lepas, cuti hari Merdeka yang jatuh pada hari sabtu dan menyebabkan hari ahadnya cuti, aku tidak ke mana-mana. Aku kena buat kek untuk jamuan hari raya yang diadakan di surau berhampiran rumah pada hari sabtu tersebut. Rancangan kononnya hendak ke Pulau Kapas (Pulau Kapas sahaja pun!) terpaksa ditunda.


Alkisahnya, kampung aku dengan Jeti Pulau Kapas di Marang hanyalah berjarak (sekejap, aku tengok google map.. hehe).. 14km lebih kurang dan mengambil masa sekitar 15 minit sahaja dengan kereta. Manakala dari jeti tersebut ke Pulau Kapas menaiki bot laju, hanya mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Maknanya untuk sampai ke Pulau Kapas, masa yang diperlukan tidak sampai setengah jam pun! Punya la dekat kan, tapi yang agak memalukan kaum, ini baru pertama kali aku ke sana. T____T (nangis!)



Aku hanya pergi berdua dengan Aisya, pergi hari Jumaat lepas dan balik keesokan harinya. Cukup semalam sahaja, kalau lebih-lebih, rentung jadinya. Kami tinggal di Makcik Gemuk Beach Resort, di chalet yang berharga RM80 semalam dengan kemudahan tandas di dalam, tv, katil besi besar dengan tilam spring dan cadar yang sangat nipis akibat lusuh, 2 biji bantal  dan selimut juga nipis dan lusuh mujur tidak berbau, meja buruk yang hampir roboh, sehelai sejadah, kipas berdiri dan lingkaran ubat nyamuk Fumakila (tanpa mancis). Tidak ada tuala disediakan. Pada pandangan saya, chalet yang ada penghawa dingin juga (RM120 semalaman) lebih kurang sama sahaja saiznya, dan kemudahannya juga barangkali. Sumber elektrik di pulau tersebut adalah menggunakan solar, dan sepanjang kami di sana dua kali elektrik padam. Sekali siang dan sekali malam.


Kaunter Makcik Gemuk Beach Resort adalah yang pertama dalam barisan unit kedai dari tepi jalan masuk ke tempat parkir kereta di Jeti Marang. Maka memang dia mendapat lebih perhatian, tambahan pula hanya dia yang aku rasa sering didengar-dengar disebut. Sebenarnya ada banyak resort lain di Pulau Kapas, dan aku tidak langsung tahu tentang itu.


Mungkin, putih pasir di Pulau Kapas tidak seputih pasir di Pulau Perhentian, atau Redang. Halus pasir di Pulau Kapas, juga tidak sehalus pasir di Pulau Perhentian atau Redang. Tetapi damainya tetap ada di situ, laut indah yang mengelilinginya tetap laut yang sama, biru, jernih dan penuh misteri, Laut China Selatan.






  







Sep 12, 2013

Khamis Sebelum Jumaat

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Di pejabat.
Atas kerusi biru, bersandaran tinggi.
Mengadap komputer sambil tangan sesekali menutup mulut, menguap lebar.
Atas meja, banyak kertas conteng, kertas fax, kertas draft..
dokumen kontrak bersusun dua, fail kertas merah jambu, dan fail hitam keras.
kalkulator kaku. buku nota sepi. telefon tidak dipeduli.

Menguap lagi. Tangan tutup mulut. Mata kuyu.

Rasanya sehari dua ini aku tidak cukup tidur. Tidur aku penuh dengan mimpi. Terjaga, dan bermimpi lagi. Tak, aku tak ingat sangat mimpi-mimpi itu. Biasanya aku ingat sekejap bila terjaga, atau adakalanya sebaik terjaga terus lupa. Ok, mata kuyu nak belayar sekejap.



Sep 11, 2013

Berganti Hati (Ost Sangkar, TV9)



Satu persatu telah kuhapus
Cerita lalu di antara engkau dan aku
Dua hati ini pernah percaya
Seribu mimpi tanpa ragu tanpa curiga

Ku tak ingin lagi
Menunggu, menanti
Harapan tuk hidupkan cinta yang telah mati
Ku tak ingin coba
Hanya tuk kecewa (Ku telah kecewa)
Lelah ku bersenyum lelah ku bersandiwara
Aku ingin pergi
Dan berganti hati

Satu persatu telah kuhapus
Nada dan lagu yang dulu kucipta untukmu
Rasa yang dulu pernah ada
Kini berdebu terbelenggu dusta dan noda

Kini ku sadari diri ini
Ingin berganti hati
Cinta yang tlah pergi
Harus berganti hati

Harus ku ganti hatiku kini
Ini harus ku ganti
Tak perlu ini lagi harus berganti…

Aku malas layan drama bersiri, sebab aku malas tertunggu-tunggu apa akan jadi. Tapi sesekali aku layan cerita Sangkar tu, sebab aku suka Nabila Huda berlakon dan Nazim Othman yang k-pop. Hehe....
 
Oh... lagu ini, sedap!

Sep 9, 2013

Sabar, Pasrah dan Akhirnya Berserah

Bismillahirahmanirrahim
Assalamualaikum...

Orang kata, redha itu ikhlas, pasrah itu berserah. Tapi pada aku, antara redha dengan pasrah, orang yang melihat tidak dapat membezakan. Hanya orang yang merasa, tahu bahawa mereka redha ataupun berserah. Pasrah lama-lama boleh jadi redha, tapi redha tetap redha.

Aku ambil masa bertahun juga untuk pasrah, pada kehidupan sekarang. Redha, aku sendiri tidak pasti. Ianya tenggelam timbul aku rasa. Bila dipujuk hati sendiri, aku jadi redha dan bersyukur. Bila dugaan mendatangi, aku jadi pasrah dan berserah.

Ayat pujuk hati aku mudah, 'tak semua orang berpeluang berbakti  dan menggembirakan ibu bapa' atau 'tak semua orang diberi hak sepenuhnya mengutip pahala dengan membesarkan seorang anak perempuan'. Semoga Tuhan mengambilkira atas segala yang aku lakukan untuk menyenangkan hati mereka, dari sekecil-kecil perkara.


Cuma aku manusia biasa, kadang-kadang hati aku menjerit juga. 




Sep 8, 2013

Aku, Masa dan Buku

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

Haish... nampaknya laman ini menjadi semakin terbiar, penuh rumput-rumput tinggi tidak terbela. Kononnya hari itu selepas raya, ada sedikit semangat hendak bercerita lagi hari-hari di sini. Tetapi hari demi hari berlalu, yang ditatap hanya laman putih, dan jari jemari kaku di papan kekunci setiap kalinya.

Buku-buku cerita juga, terbiar dalam raga rotan. Bertimbun. Yang dipinjam di perpustakaan, yang baru dibeli diinternet, dan yang hendak diulang baca dari koleksi sedia ada. Bosan lagi. Tetapi mata ini tetap meliar membaca bermacam-macam ulasan buku di internet. Dan berangan hendak baca itu ini. Hendak miliki itu ini. Tamak. Tak pernah pula bosannya.

Kadang-kadang aku sendiri hairan, apalah yang aku buat hari-hari. Bila aku fikir semula, aku rasa aku banyak buang masa. Tetapi bila aku fikirkan lagi, kononnya aku nak gunakan masa aku sepenuhnya untuk berbuat apa aku suka. Sudahnya, aku tidak sempat berbuat apa-apapun. Masa masih tidak cukup untuk aku. Sebab itu buku-buku itu masih tidak aku baca baca lagi.

Ah, alasan semua itu.




Aug 29, 2013

Semangat Kemerdekaan Dulu-Dulu

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...


Dulu-dulu kami tidak menunggu jam 12 tengah malam untuk melihat letupan mercun bunga api terang benderang di angkasa raya. Malah aku pasti sekitar tahun 80-an itu, mercun bunga api itu belum begitu terkenal lagi. Jam 12 tengah malam, kami telah lama rebah atas lembek nipis berbungkus selimut cap 333 Sparrow yang berjalur merah jambu atau hijau atau biru yang sudah nipis dan lusuh. Kami tidur awal, kerana esoknya hari Merdeka. Hari Merdeka kena bangun awal sebab ada perarakan hari Merdeka di televisyen hitam putih kami. Malah bila ayah tukar televisyen warna dengan televisyen hitam putin itu, kami lagi bersemangat. Semangat dapat melihat bermacam-macam warna dalam perarakan di Dataran Merdeka yang disiarkan secara langsung ke tv itu. Begitulah bersemangatnya kami.


Aug 28, 2013

Kebahagiaan Tidak Boleh Dibeli, Tapi...

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum...

...buku boleh dibeli yang juga membawa bersamanya kebahagiaan. Maka kita mendapat dua perkara sekaligus disitu, iaitu buku dan juga kebahagiaan. Ianya seperti beli satu, dapat satu percuma yang tidak boleh dibeli di mana-mana, tidak juga di jual di mana-mana.

Sejak bergelumang dalam dunia Goodreads, aku suka sekali mengulas tentang buku-buku yang baru aku baca di situ. Tapi buku-buku yang dah lama aku baca, aku cuma bagi bintang. Untuk mengulas, aku sudah tidak ingat jalan cerita. Hampir setiap hari juga aku lepak di situ. Sesekali baca review pembaca tentang novel-novel yang mereka baca. Maka, banyak la pula buku-buku yang teringin aku nak baca. Dari situ akhirnya aku membuat keputusan membeli secara dalam talian buku Nadia Khan, Kelabu dan Cerpen. Kelabu tu, kebanyakan review macam sangat menarik dan hampir kesemua yang memberi bintang adalah tidak kurang dari 4 bintang. Sekali order, tak berbaloi pula satu sahaja. Aku tambah lagi dengan Cerpen, juga karya Nadia Khan. Sekali bila baca sinopsis kat belakang buku, ada perkataan 'RETIS' yang ditulis selamba tanpa ada tanda '...', maka aku sedikit kecewa disitu. Aku tidak suka penulis yang merosakkan bahasa.

Berbalut lagi bukunya, tak berapa sempat dilayan sebab tengah sibuk berkepit dengan buku-buku hasil pinjaman kat perpustakaan awam.




Semenjak jatuh cinta dengan Ramlee Awang Murshid pula, silih berganti dan satu persatu buku-buku dia aku kepit. Orang lain dah khatam lama, aku baru nak merangkak satu persatu. Ingat nak beli sahaja, tapi bila difikir-fikirkan semula, mungkin tidak perlu. Buku dia mudah didapati di mana-mana. Malah di Perpustakaan Awam itu juga. Cuma mungkin untuk novel dia yang sangat-sangat menarik, aku akan buat koleksi juga nanti. Seperti Bagaikan Puteri, yang ada novel-novel sambungannya. Hatiku Di Harajuku, aku baca sebelum Bagaikan Puteri. Dan sekarang Adam sedang menunggu dalam senarai. Sabar, sebab aku sedang menghabiskan antologi cerpen Awang Had Salleh. Cerpen-cerpen lama sekitar tahun 1970-an hingga 1990-an. yang dibuku oleh DBP. Oh, aku sangat suka membacanya, malah aku suka ulang-ulang baca ayat-ayat yang kadangkala sukar difahami. Kerana kegilaan aku, kali ini aku pinjam dua buah antologi cerpen. Satu lagi karangan Khadijah Hashim sedang menunggu giliran.


Mungkin aku ni oldschool, sukakan novel-novel lama, cerpen-cerpen lama, karangan orang lama-lama. Aku juga suka ulang baca buku-buku cerita lama, yang bersusun dalam kotak. Sayangnya beberapa buah buku yang masih aku ingat, antaranya Odah, Laila Azwa Gadisku, Badai Semalam (cetakan pertama), sudah hilang entah ke mana. Aku rasa sepupu-sepupu aku pinjam dan tidak pulangkan. Ini jer la yang masih ada. Oh... ada juga antaranya yang aku tertinggal dalam bas sekolah sekitar tahun 1990-an. Sebenarnya hampir kesemua buku-buku lama ini kepunyaan kakak, yang mana menurut cerita emak, ayah dulu suka layan permintaan kakak nak beli buku cerita. Novel remaja di bawah antara novel yang banyak mengajar aku untuk mengarang cerita sendiri. Kononnya dulu kan nak jadi penulis. Enid Blyton pula banyak memberi idea untuk aku berangan-angan. Hahaha.. Antaranya, nak memiliki kuda sendiri dan menunggang kuda ke sekolah. Huh?? Hahahaha....













Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...